Powered By Blogger

Wednesday, July 27, 2011

KONSONAN SEPARUH VOKAL

Jenis konsonan yang terakhir ialah konsonan separuh vokal. Konsonan ini terdiri daripada dua bunyi, iaitu bunyi [w] dan bunyi [j]. Konsonan ini dinamakan separuh vokal kerana bunyinya seolah-olah bunyi vokal tetapi digeluncurkan ke vokal yang lain.



Marilah kita berbincang tentang bunyi [w] terlebih dahulu. Bunyi [w] dinamakan Konsonan separuh vokal dua bibir bersuara. Cara penghasilan bunyi ini ialah bibir dalam keadaan bundar. Belakang lidah dinaikkan setinggi-tingginya tetapi tidak mencecah lelangit lembut. Bunyi yang terhasil ialah bunyi [u]. Bunyi [u] ini digeluncurkan dengan pantas ke arah penghasilan bunyi vokal tengah [] dengan menurunkan belakang lidah agar berada dalam kedudukan biasa. Bibir berubah daripada keadaan bundar kepada keadaan biasa. Ketika penghasilan bunyi ini, udara dari paru-paru keluar melalui rongga mulut tanpa sebarang halangan atau sekatan dan pita suara bergetar. Contoh perkataan yang mempunyi bunyi ini ialah waris, wang, bawal dan kawan.



Bunyi konsonan separuh vokal yang kedua ialah bunyi [j]. Bunyi [j] dinamakan Konsonan separuh vokal lelangit keras bersuara. Jika dalam penulisan biasa, bunyi ini ditulis sebagai ‘y’. Contoh perkataan yang mempunyai bunyi ini ialah yang, yakin, bayar, dan sayur. Untuk menghasilkan bunyi ini, hadapan lidah dinaikkan setinggi-tingginya tetapi tidak mencecah lelangit keras. Lidah kemudiannya diturunkan ke keadaan biasa dengan pantas seolah-olah ke arah membunyikan vokal tengah [].Bibir bertukar daripada keadaan hampar kepada keadaan biasa. Ketika proses ini, udara dari paru-paru keluar melalui rongga mulut tanpa sekatan atau halangan dan pita suara bergetar.



Setelah meneliti kedua-dua bunyi tersebut, dapatlah kita membuat rumusan bahawa sifat bunyi konsonan separuh vokal ini ialah:

  1. Kedudukan lidah dan bibir berubah dengan cepat (daripada keadaan untuk membunyikan vokal pertama kepada keadaan untuk membunyikan vokal tengah).
  2. Pita suara bergetar (bunyi bersuara).

Walaupun bunyi yang dihasilkan itu melibatkan bunyi vokal, namun geluncurannya dari satu vokal ke satu vokal yang lain itu menyebabkan bunyi tersebut tergolong dalam bunyi konsonan.



            Dalam Kertas 1 Bahasa Melayu STPM, soalan tentang bunyi konsonan separuh vokal belum pernah dikemukakan. Walau bagaimanapun, anda perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan tentang bunyi ini.



Disediakan oleh:
Zawiah binti Abdul Shukor
Ketua Jabatan,
Jabatan Pengembangan Kebudayaan Melayu.

PENGEJAAN KATA DAN IMBUHAN PINJAMAN

Semua pelajar perlu peka dengan sistem ejaan. Dalam Kertas 1 Bahasa Melayu STPM, soalan tentang sistem ejaan kata pinjaman ini tidak pernah dikemukakan. Namun, anda perlu ingat bahawa anda mempunyai Kertas 2 untuk dijawab. Kertas 2 memerlukan anda menulis dengan sebanyak-banyaknya. Pelajar yang kaya dengan kosa kata dan dapat menggunakan kosa kata tersebut dengan tepat, indah dan berkesan merupakan pelajar yang istimewa. Penggunaan kata asing atau disebut sebagai kata pinjaman besar kemungkinan banyak anda gunakan. Kesilapan ejaan menyebabkan anda kehilangan markah. Artikel ini mengemukakan beberapa sistem pengejaan kata pinjaman yang diharapkan dapat membantu anda mengurangkan kesilapan dan seterusnya meningkatkan pencapaian anda.


Terlalu banyak perkataan yang terserap ke dalam bahasa Melayu dan proses ini berterusan. Hal ini berkaitan dengan perkembangan negara yang semakin pesat. Perkembangan sains, teknologi dan komunikasi menyebabkan keperluan untuk menggunakan perkataan asing semakin banyak, begitulah juga dengan perkembangan bidang yang lain seperti bidang pemakanan, hiburan dan lain-lain.


Penyerapan bahasa Nusantara, iaitu bahasa Indonesia terlalu banyak dan telah berlaku sekian lama sehinggakan pengguna bahasa tidak menyedari bahawa sejumlah besarnya berasal daripada daerah tersebut. Walau bagaimanapun, Sistem Ejaan Rumi Baharu telah menetapkan bahawa bahasa tersebut ialah bahasa asing dan sistemnya sama seperti sistem pengejaan bahasa pinjaman yang lain. Contoh bahasa Indonesia yang telah lama terserap dalam bahasa Melayu ialah perabot, calon, pamer, aneh dan awet. Dalam prinsip keselarasan vokal, vokal a dengan vokal o tidak selaras, begitu juga vokal a dengan vokal e taling, namun hal ini dikecualikan bagi ejaan kata pinjaman.


Berdasarkan Sistem Ejaan Rumi Baharu, beberapa prinsip pengejaan bahasa asing digunakan. Perkataan yang diambil daripada bahasa Inggeris dieja dengan mengutamakan bentuk visual asalnya tetapi diucapkan mengikut sebutan bahasa Melayu misalnya, ‘psychoanalysis’ dieja psikoanalisis, ‘arthritis’ dieja arthritis, glamour dieja glamor. Perkataan Inggeris yang mempunyai gabungan dua huruf konsonan yang sama dieja dengan menggugurkan satu huruf, misalnya ‘nugget’ dieja nuget dalam bahasa Melayu, begitu juga ‘session’, dieja sesi. Selain itu, perkataan Inggeris yang bermula dengan ‘auto’, ‘aero’, ‘tele’, ‘dia’ misalnya, masih dikekalkan unsur depanannya dalam bahasa Melayu, misalnya autokratik, aerodinamik, telefoto, dialog. Penyesuaian huruf bagi gabungan huruf vokal juga dilakukan, misalnya ‘mee’ dieja mi, ‘saloon’ dieja salun.


Perkataan yang diambil daripada bahasa Arab dieja mengikut sistem ejaan rumi dan kebanyakannya diucapkan mengikut kaedah penyebutan bahasa Melayu. Contohnya,

‘thalatha’ dieja ‘selasa’, ‘fardhu’ dieja ‘fardu’, dan ‘dzahir’ dieja zahir.


Walau bagaimanapun, terdapat kekecualian dalam sistem ejaan bahasa Melayu bagi perkataan tertentu. Kekecualian ini sangat kecil bilangannya. Hal ini merupakan perkara yang lumrah dalam kebanyakan bahasa di dunia ini. Ejaan bagi perkataan ‘hadhari’ dikekalkan walaupun pada asalnya ‘dh’ telah diubah menjadi ‘d’ sahaja seperti ejaan bagi perkataan fardu, Ramadan dan afdal.  


Selain bahasa Indonesia, Inggeris dan Arab, terdapat juga perkataan yang diambil daripada bahasa lain seperti bahasa Tamil, Cina, Peranchis, Itali, Portugis dan sebagainya. Kesemua ejaan bagi perkataan ini tertakluk pada prinsip yang telah ditetapkan.


Selain perkataan, imbuhan juga turut dipinjam daripada bahasa asing. Pasca, dwi, eka, anti, pro, pra, supra, multi, sub, dan bi merupakan contoh imbuhan awalan yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit, Inggeris dan Arab. Sebagaimana pengejaan imbuhan bahasa Melayu, imbuhan pinjaman juga mempunyai sistem yang sama. Apabila kata dasarnya terdiri daripada kata nama am, imbuhannya dieja bercantum dengan kata dasar tersebut, misalnya pascanilai, dwiwarna, ekabahasa, antidadah, prokerajaan, prasekolah, suprapenggalan, multinasional, subtopik, dan biadab. Namun, sekiranya kata dasarnya ialah kata nama khas, imbuhan dan kata dasarnya dipisahkan dengan tanda sempang. Contohnya, anti-Israel, pro-Asia, dan pra-Olimpik.


            Imbuhan akhiran yang dipinjam kebanyakannya menghadapi proses pengubahsuaian ejaan, contohnya imbuhan akhiran ‘-graphy’ dalam bahasa Inggeris menjadi ‘-grafi’ dalam bahasa Melayu, imbuhan akhiran ‘-ive’ menjadi ‘-if’, ‘-ic’ menjadi ‘-ik’, ‘-logy’ menjadi ‘-logi’, ‘-ism’ menjadi ‘isme’ atau ‘isma’. Contoh perkataan berimbuhan di atas ialah fotografi, subjektif, paramedik, fonologi, nasionalisme dan organisma.


            Apabila membicarakan ejaan kata pinjaman, kita perlu juga meneliti maksud kata pinjaman tersebut supaya tidak tersalah erti. Para pelajar tentu sering menggunakan perkataan ‘hadirin’ dan ‘hadirat’ sama ada dalam penulisan atau pengucapan. Ini juga merupakan kata pinjaman daripada bahasa Arab yang berimbuhan akhiran ‘-in’ dan ‘at’. Hadirin bermaksud sekalian yang hadir. Kesilapan yang dilakukan oleh pengguna bahasa ialah mereka menganggap perkataan ‘hadirin’ untuk lelaki dan ‘hadirat’ untuk wanita. Sebenarnya ‘hadirin’ merangkumi lelaki dan wanita yang hadir dalam sesuatu majlis dan sebagainya, manakala hadirat pula bermaksud. kehadiran, tempat mengadap (raja, Nabi, Tuhan); atau bermaksud (kata yang bererti) Yang Mulia. Rujukilah Kamus Dewan Edisi Keempat, muka surat 498 untuk penjelasan tentang hal ini. Oleh itu, ayat “Selamat sejahtera saya ucapkan kepada hadirin dan hadirat sekalian,” sepatutnya digantikan dengan ayat “Selamat sejahtera saya ucapkan kepada hadirin sekalian.”


            Diharapkan agar para pelajar sekalian berhati-hati ketika mengeja perkataan. Di samping itu, anda juga perlu mengetahui maksudnya. Akhir sekali, saya berharap agar artikel ini dapat membantu anda dalam penulisan nanti.



 Disediakan oleh:
Zawiah binti Abdul Shukor
Ketua Jabatan,
Jabatan Pengembangan Kebudayaan Melayu.

HOMESTAY KG LONEK, NEGERI SEMBILAN






























POLA KESELARASAN HURUF VOKAL

Usaha untuk menyatukan sistem ejaan rumi bahasa Melayu antara Malaysia dengan Indonesia telah dimulakan sejak tahun 1959. Persetujuan tentang sistem ini kemudiannya ditandatangani pada tahun 1967. Perisytiharan tentang penyatuan tersebut telah dibuat serentak di kedua-dua Negara pada 16 Ogos 1972. Di Malaysia, sistem ini dinamakan Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu. Peraturan ejaan ini dibentuk agar pengguna bahasa menggunakan ejaan yang seragam.


Salah satu peraturan yang ditetapkan ialah Pola Keselarasan Huruf Vokal. Dalam pola ini, huruf vokal bagi suku pertama dalam perkataan perlu selaras dengan huruf vokal bagi suku kata kedua. Misalnya perkataan ‘boleh’, vokal ‘o’ dengan ‘e’ adalah selaras. Jika perkataan itu dieja ‘bolih’, ejaan tersebut adalah salah. Jika perkataan yang mempunyai tiga suku kata atau lebih, vokal bagi suku kata kedua terakhir mesti selaras dengan vokal dalam suku kata terakhir. Inilah yang dikatakan prinsip Pola Keselarasan Huruf Vokal.


Terdapat tiga perkara yang perlu diingat apabila mengaitkan ejaan bagi sesuatu perkataan itu dengan Pola Keselarasan Huruf Vokal. Tiga perkara tersebut ialah:

1.                  perkataan tersebut mestilah kata asli atau kata jati bahasa Melayu,

2.                  hanya dua suku kata sahaja yang terlibat dengan sistem ini. Andainya sesuatu perkataan itu mempunyai lebih daripada dua suku kata, hanya dua suku kata terakhir yang diberikan perhatian,

3.                  suku kata terakhir mestilah suku kata tertutup, iaitu suku kata yang diakhir dengan huruf konsonan.




Pengguna bahasa mudah mengingati pola ini dengan merujuk kepada carta di bawah.


Sebelum huraian dibuat tentang carta di atas, penjelasan tentang bunyi e pepet dan e taling akan dilakukan terlebih dahulu. Huruf e mengandungi dua bunyi, iaitu e pepet dan e taling. Bunyi e pepet terdapat dalam perkataan seperti emak, beras, dan selesema. Bunyi e taling pula terdapat dalam perkataan seperti elak, leceh, dan sore.

Huruf a, i, u dan e pepet selaras dengan huruf a, i, u. Huruf e taling dan o pula selaras dengan huruf e taling, o dan a. Jika  kita melihat carta di atas, huruf di dalam kotak pertama perlu digandingkan dengan huruf di dalam kotak kedua bagi kumpulan yang sama. Sebagaimana yang telah dijelaskan tadi, pola ini khusus untuk mengeja perkataan asli bahasa Melayu.


Apabila dipecahkan satu persatu huruf vokal di dalam kotak di atas, terdapat 18 pola semuanya. Pola tersebut ialah :



Ejaan di atas adalah biasa bagi kita. Namun, ada juga kesilapan yang dilakukan oleh pengguna bahasa, misalnya kesilapan yang terdapat dalam buku cenderamata atau majalah tertentu. Kesilapan yang sering ditemukan ialah ‘Sekapur Sireh’. Ejaan ‘sireh’ adalah salah kerana vokal i dalam suku kata si dan e taling dalam suku kata reh tidak selaras.

Pola di atas juga membantu kita mengenal pasti perbezaan sebutan antara perkataan yang hampir sama bentuknya. Contohnya adalah seperti yang berikut :           

telur – telor                 keluk – kelok              seluk – selok               tembuk – tembok

Makna bagi perkataan tersebut berbeza dan kita mudah mengenalinya dengan merujuk kepada Pola Keselarasan Huruf Vokal.       

Andainya kita terjumpa perkataan seperti calon, pamer, bonus, dan subjek, ejaan ini tidak salah dan tidak melanggar prinsip Pola Keselarasan Huruf Vokal kerana perkataan tersebut bukan perkataan asli bahasa Melayu. Perkataan tersebut ialah perkataan pinjaman daripada bahasa asing- Indonesia dan Inggeris. Dalam bahasa Melayu, terlalu banyak perkataan pinjaman yang kita gunakan untuk memenuhi keperluan masa ini.

Sebelum mengakhiri penulisan ini, silalah baca soalan yang pernah dikemukakan dalam Kertas 1 Bahasa Melayu STPM beberapa tahun yang lalu :

Antara ayat yang berikut, yang manakah yang mempunyai kata yang ejaannya tidak mematuhi peraturan keselarasan vokal:
1                    Belut sejenis ikan yang banyak mengandung khasiat.
11                Perabot yang dibuat daripada kayu tropika sangat cantik.
111            Encik Harun dipilih menjadi calon dalam pilihan raya itu.
1V       Pasukan itu mengalami kekalahan teruk kerana salah seorang anggotanya telah belot
A         1 dan 111
B         1 dan 1V
C         11 dan 111
D         1, 11, dan 111
E          1, 111, dan 1V

Jawapannya = C
Perabot dan calon tidak mengikut peraturan keselarasan vokal kerana kata
tersebut merupakan kata pinjaman.





Disediakan oleh:
Zawiah binti Abdul Shukor
Ketua Jabatan,
Jabatan Pengembangan Kebudayaan Melayu.