Powered By Blogger

Wednesday, July 27, 2011

POLA KESELARASAN HURUF VOKAL

Usaha untuk menyatukan sistem ejaan rumi bahasa Melayu antara Malaysia dengan Indonesia telah dimulakan sejak tahun 1959. Persetujuan tentang sistem ini kemudiannya ditandatangani pada tahun 1967. Perisytiharan tentang penyatuan tersebut telah dibuat serentak di kedua-dua Negara pada 16 Ogos 1972. Di Malaysia, sistem ini dinamakan Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu. Peraturan ejaan ini dibentuk agar pengguna bahasa menggunakan ejaan yang seragam.


Salah satu peraturan yang ditetapkan ialah Pola Keselarasan Huruf Vokal. Dalam pola ini, huruf vokal bagi suku pertama dalam perkataan perlu selaras dengan huruf vokal bagi suku kata kedua. Misalnya perkataan ‘boleh’, vokal ‘o’ dengan ‘e’ adalah selaras. Jika perkataan itu dieja ‘bolih’, ejaan tersebut adalah salah. Jika perkataan yang mempunyai tiga suku kata atau lebih, vokal bagi suku kata kedua terakhir mesti selaras dengan vokal dalam suku kata terakhir. Inilah yang dikatakan prinsip Pola Keselarasan Huruf Vokal.


Terdapat tiga perkara yang perlu diingat apabila mengaitkan ejaan bagi sesuatu perkataan itu dengan Pola Keselarasan Huruf Vokal. Tiga perkara tersebut ialah:

1.                  perkataan tersebut mestilah kata asli atau kata jati bahasa Melayu,

2.                  hanya dua suku kata sahaja yang terlibat dengan sistem ini. Andainya sesuatu perkataan itu mempunyai lebih daripada dua suku kata, hanya dua suku kata terakhir yang diberikan perhatian,

3.                  suku kata terakhir mestilah suku kata tertutup, iaitu suku kata yang diakhir dengan huruf konsonan.




Pengguna bahasa mudah mengingati pola ini dengan merujuk kepada carta di bawah.


Sebelum huraian dibuat tentang carta di atas, penjelasan tentang bunyi e pepet dan e taling akan dilakukan terlebih dahulu. Huruf e mengandungi dua bunyi, iaitu e pepet dan e taling. Bunyi e pepet terdapat dalam perkataan seperti emak, beras, dan selesema. Bunyi e taling pula terdapat dalam perkataan seperti elak, leceh, dan sore.

Huruf a, i, u dan e pepet selaras dengan huruf a, i, u. Huruf e taling dan o pula selaras dengan huruf e taling, o dan a. Jika  kita melihat carta di atas, huruf di dalam kotak pertama perlu digandingkan dengan huruf di dalam kotak kedua bagi kumpulan yang sama. Sebagaimana yang telah dijelaskan tadi, pola ini khusus untuk mengeja perkataan asli bahasa Melayu.


Apabila dipecahkan satu persatu huruf vokal di dalam kotak di atas, terdapat 18 pola semuanya. Pola tersebut ialah :



Ejaan di atas adalah biasa bagi kita. Namun, ada juga kesilapan yang dilakukan oleh pengguna bahasa, misalnya kesilapan yang terdapat dalam buku cenderamata atau majalah tertentu. Kesilapan yang sering ditemukan ialah ‘Sekapur Sireh’. Ejaan ‘sireh’ adalah salah kerana vokal i dalam suku kata si dan e taling dalam suku kata reh tidak selaras.

Pola di atas juga membantu kita mengenal pasti perbezaan sebutan antara perkataan yang hampir sama bentuknya. Contohnya adalah seperti yang berikut :           

telur – telor                 keluk – kelok              seluk – selok               tembuk – tembok

Makna bagi perkataan tersebut berbeza dan kita mudah mengenalinya dengan merujuk kepada Pola Keselarasan Huruf Vokal.       

Andainya kita terjumpa perkataan seperti calon, pamer, bonus, dan subjek, ejaan ini tidak salah dan tidak melanggar prinsip Pola Keselarasan Huruf Vokal kerana perkataan tersebut bukan perkataan asli bahasa Melayu. Perkataan tersebut ialah perkataan pinjaman daripada bahasa asing- Indonesia dan Inggeris. Dalam bahasa Melayu, terlalu banyak perkataan pinjaman yang kita gunakan untuk memenuhi keperluan masa ini.

Sebelum mengakhiri penulisan ini, silalah baca soalan yang pernah dikemukakan dalam Kertas 1 Bahasa Melayu STPM beberapa tahun yang lalu :

Antara ayat yang berikut, yang manakah yang mempunyai kata yang ejaannya tidak mematuhi peraturan keselarasan vokal:
1                    Belut sejenis ikan yang banyak mengandung khasiat.
11                Perabot yang dibuat daripada kayu tropika sangat cantik.
111            Encik Harun dipilih menjadi calon dalam pilihan raya itu.
1V       Pasukan itu mengalami kekalahan teruk kerana salah seorang anggotanya telah belot
A         1 dan 111
B         1 dan 1V
C         11 dan 111
D         1, 11, dan 111
E          1, 111, dan 1V

Jawapannya = C
Perabot dan calon tidak mengikut peraturan keselarasan vokal kerana kata
tersebut merupakan kata pinjaman.





Disediakan oleh:
Zawiah binti Abdul Shukor
Ketua Jabatan,
Jabatan Pengembangan Kebudayaan Melayu.




2 comments: