Powered By Blogger

Wednesday, July 27, 2011

KONSONAN SEPARUH VOKAL

Jenis konsonan yang terakhir ialah konsonan separuh vokal. Konsonan ini terdiri daripada dua bunyi, iaitu bunyi [w] dan bunyi [j]. Konsonan ini dinamakan separuh vokal kerana bunyinya seolah-olah bunyi vokal tetapi digeluncurkan ke vokal yang lain.



Marilah kita berbincang tentang bunyi [w] terlebih dahulu. Bunyi [w] dinamakan Konsonan separuh vokal dua bibir bersuara. Cara penghasilan bunyi ini ialah bibir dalam keadaan bundar. Belakang lidah dinaikkan setinggi-tingginya tetapi tidak mencecah lelangit lembut. Bunyi yang terhasil ialah bunyi [u]. Bunyi [u] ini digeluncurkan dengan pantas ke arah penghasilan bunyi vokal tengah [] dengan menurunkan belakang lidah agar berada dalam kedudukan biasa. Bibir berubah daripada keadaan bundar kepada keadaan biasa. Ketika penghasilan bunyi ini, udara dari paru-paru keluar melalui rongga mulut tanpa sebarang halangan atau sekatan dan pita suara bergetar. Contoh perkataan yang mempunyi bunyi ini ialah waris, wang, bawal dan kawan.



Bunyi konsonan separuh vokal yang kedua ialah bunyi [j]. Bunyi [j] dinamakan Konsonan separuh vokal lelangit keras bersuara. Jika dalam penulisan biasa, bunyi ini ditulis sebagai ‘y’. Contoh perkataan yang mempunyai bunyi ini ialah yang, yakin, bayar, dan sayur. Untuk menghasilkan bunyi ini, hadapan lidah dinaikkan setinggi-tingginya tetapi tidak mencecah lelangit keras. Lidah kemudiannya diturunkan ke keadaan biasa dengan pantas seolah-olah ke arah membunyikan vokal tengah [].Bibir bertukar daripada keadaan hampar kepada keadaan biasa. Ketika proses ini, udara dari paru-paru keluar melalui rongga mulut tanpa sekatan atau halangan dan pita suara bergetar.



Setelah meneliti kedua-dua bunyi tersebut, dapatlah kita membuat rumusan bahawa sifat bunyi konsonan separuh vokal ini ialah:

  1. Kedudukan lidah dan bibir berubah dengan cepat (daripada keadaan untuk membunyikan vokal pertama kepada keadaan untuk membunyikan vokal tengah).
  2. Pita suara bergetar (bunyi bersuara).

Walaupun bunyi yang dihasilkan itu melibatkan bunyi vokal, namun geluncurannya dari satu vokal ke satu vokal yang lain itu menyebabkan bunyi tersebut tergolong dalam bunyi konsonan.



            Dalam Kertas 1 Bahasa Melayu STPM, soalan tentang bunyi konsonan separuh vokal belum pernah dikemukakan. Walau bagaimanapun, anda perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan tentang bunyi ini.



Disediakan oleh:
Zawiah binti Abdul Shukor
Ketua Jabatan,
Jabatan Pengembangan Kebudayaan Melayu.

No comments:

Post a Comment